“APA TUJUAN ATAU MOTIF MENGIKUTI YESUS?”

REKOLEKSI DAN IMBASAN PENERIMAAN KATEKUMEN PERINGKAT PAROKI KSFX

Upacara penerimaan Katekumen telah diadakan di Dataran Keuskupan pada 20 Ogos 2011. Upacara ini dijalankan buat pertama kalinya dalam Misa Kudus khas, dimana seramai 450 orang simpatisan dan penjamin hadir mengikuti sesi rekoleksi dan imbasan sebagai persiapan yang dimulakan seawal 8.00 pagi.

Misa Kudus dimulakan pada jam 4.00 petang yang dipimpin oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong.

Mendahului Liturgi Sabda adalah upacara penandaan dengan Salib ke atas deria-deria para simpatisan oleh para penjamin. Dalam kothbah Bapa Uskup, beliau merasa yakin bahawa katekumen telah pun mengikuti lapan sesi dan percaya bahawa sedikit sebanyak mengenali Yesus melalui ajaran gereja. Beliau juga percaya bahawa tiada yang dipaksa atau diheret datang mengikuti rekoleksi untuk masuk ke tahap katekumen iaitu tahap yang paling tinggi.

Beliau menasihati para katekumen bahawa sikap sambil lewa dalam mengikuti sesi perlu dikikis apatah lagi dalam mengikuti Misa Kudus bahagian pertama (Liturgi Sabda). Demikian beliau turut menujukan hal yang sama kepada para calon PMG, Komuni Pertama, dan Krisma.

“Malangnya” tambahnya lagi bahawa ada ibubapa yang tidak mahu anak-anak mengikuti Misa Kudus atau menghantar sahaja anak mereka ke gereja atau ke kelas agama lalu balik.

“Sebab itu iman Kristian kita tidak berkualiti tapi ber‘kulit’i saja.”

Beliau mengajak semua untuk mengikuti jejak Abraham yang dipanggil lalu meninggalkan hidup lamanya untuk masuk dalam kehidupan baru. Kedengaran serius dan memang menakutkan kerana kita tidak tahu di masa akan datang tapi perlu taruh kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan.

“Setiap kali kita dipanggil, Yesus akan melengkapi dan membimbing asalkan taat dan tinggal bersama Dia. Begitulah pengikut-pengikut Yohanes Pembaptis yang tidak hanya mahu mengikuti dan mengenalinya saja tapi juga mengenali Yesus.”

Bapa Uskup turut menasihati kepada para katekumen bahawa mereka perlu sedar akan apa yang berlaku hari itu. Bukan setakat mengikuti sesi sahaja baru mengingati Tuhan. Perlu selalu tinggal bersama Yesus setiap hari agar dapat membangun iman yang kuat.

“Apa tujuan atau motif mengikuti Yesus?”

Tambahnya lagi jika menjadi katekumen atau dibaptis kerana lelaki atau perempuan maka ia tidak akan bertahan. Untuk itu kejujuran akan tujuan atau motif mengikuti Yesus dituntut dari awal lagi.

“Seperti yang telah diingatkan kepada para katekumen yang lalu agar tidak seperti sifat itik yang ikut-ikutan sahaja tetapi perlu tentukan ketetapan agar iman katekumen yang bertumbuh, bertahan dan bersaksi” katanya sambil menekankan hal itu.

Sebagai mengakhiri kotbah, beliau mengajak untuk beringat selalu bahawa Yesus adalah peribadi dan iman yang dibangun adalah atas dasar persahabatan dengan Yesus, ikatan cintakasih dengan Yesus.

Kemudian Penyampaian Salib dilaksanakan oleh Bapa Uskup sendiri kepada wakil katekumen dari setiap Zon sebelum meneruskan Liturgi Ekaristi.

Sebelum Misa Perutusan, Bapa Uskup mengungkapkan terima kasihnya kepada para pembimbing yang bekerjasama merealisasikan rekoleksi tersebut serta tabah membimbing. Beliau turut mengajak pembimbing untuk menjalankan pelayanan sepenuh hati dengan penuh cinta kasih.

“Mengasihi, melayani, kuat, tabah, komited dan tetaplah bersatu. Sentiasa bersemangat tim untuk melayani bersama Yesus dan bertindak sebagai Tubuh Yesus” katanya.

“Apakah saudara-saudari bahagia sudah memasuki katekumen” tanya Bapa Uskup kepada para katekumen.

Harapan beliau agar para katekumen terus rajin bukan untuk minta dipuji tetapi benar-benar mahu mengenal Yesus sebagai peribadi. Menurutnya lagi, agama bukan sekadar undang-undang atau hukum tapi keseluruhannya adalah tentang mengenali Yesus dengan itu akan lahir cintakasih untuk mahu mengikuti Dia.

This entry was posted in KSFX and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*


*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>