KOMITED MENGAMPUNI SESAMA

Renungan Hari Minggu Biasa Ke – 7 (Tahun B)

Yes 43:18-19,21-22,24-25 2Kor 1:18-22 Mrk 2:1-12

“Putera Manusia berkuasa mengampuni dosa di dunia.”

Kita hidup di dalam dunia yang sukar mengampuni. “Ibu bapa saya” kata seorang anak remaja, “Tidak pernah ada di rumah apabila saya balik dari sekolah.” “Pada hari suami menampar saya, adalah hari yang terakhir bagi kami hidup bersama,” kata seorang ibu yang baru setahun berkahwin. Memang ada lagi sebab yang paling menyakitkan sehingga orang sukar untuk mengampuni. “Saya tidak boleh percaya lagi pada kaum lelaki sejak saya dirogol beramai-ramai.” “Dia telah membunuh bapa saya. Saya akan membalas dendam bukan hanya pada dia, tetapi seluruh suku sakatnya.” “Dia, saudara kandungku sendiri, menipu saya terhadap hak saya untuk mewarisi harta pusaka peninggalan ibu bapa kami.”

Kita menjadi sedar bahawa rupa-rupanya kita berada dalam keadaan sukar mengampuni apabila kita secara terus menerus mengingati luka-luka batin, kesengsaraan atau ketidakadilan yang menimpa hidup kita disebabkan oleh orang lain. Demikian juga apabila kita mula menghitung-hitung kesalahan orang terhadap kita dan mencari-cari masa yang sesuai agar kita dapat membalasnya. Akhirnya kita sedar juga bahawa apabila kita selalu menyalahkan orang lain dengan kata-kata yang kesat atau tidak mahu memandang wajah seseorang dengan perasaan cinta kasih, makam itu adalah tanda bahawa kita belum dapat mengampuni sesama kita.

Pada umumnya orang zaman sekarang terutama para pengamal perubatan, lebih menyakini bahawa 60-90% penyebab penyakit manusia adalah psikosomatik. Iaitu suatu gangguan fizikal manusia yang timbul akibat masalah kejiwaan, seperti rasa gelisah, takut atau bimbang terhadap perkara-perkara yang akan menimpanya, walaupun belum tentu terjadi. Dalam kata lain, penyebab fisikal terhadap penyakit kita hanya sedikit dibandingkan dengan perasaan kita yang agak keterlaluan itu. Mungkinkah masalah psikosomatik ini berakar pada sikap manusia yang sukar mengampuni itu?

Di dalam Injil hari ini, kita mendapati Yesus menunjukkan diri-Nya dengan nyata sekali terhadap psikosomatik semula jadi yang dialami oleh setiap peribadi manusia. Dia menyembuhkan seorang lumpuh secara holistik. Dia mengampuni dosa orang yang lumpuh tersebut dan menyembuhkannya daripada penyakit lumpuhnya itu. Yesus memperlihatkan pada kita bahawa pengampunan dan penyembuhan itu mempunyai hubungan yang saling berkaitan dan saling memerlukan. Bahawa tiada pengampunan tanpa penyembuhan dan tiada penyembuhan tanpa pengampunan.

Ketika Yesus mengajar para rasul-Nya bagaimana berdoa kepada Allah Bapa, Dia menekankan bahagian penting daripada doa tersebut, iaitu komited untuk mengampuni, “Ampunilah kami akan kesalahan kami, seperti kami juga mengampuni orang yang bersalah kepada kami” (Mt 6:12). Demikian juga Yesus mengajar para murid-Nya, “Jikalau kamu mengampuni dosa orang, dosanya diampuni, dan jikalau kamu menyatakan dosa orang tetap ada, dosanya tetap ada” (Yoh 20:23). Rupa-rupanya Yesus komited untuk memanjangkan amalan pengampunan dosa ini kepada kita juga. Bahawa hak mengampuni itu bukan 100% milik Tuhan, tetapi kita juga mempunyai kewajiban untuk mengampuni sesama kita. Mungkin inilah sebabnya mengapa Yesus dengan tegas mengecam orang-orang Saduki yang mahu membatasi hak mengampuni itu hanya pada Allah Bapa sahaja, “Siapa yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?” (ay 7).

Bagi Yesus, pengampunan merupakan penyembuhan yang sangat menakjubkan yang boleh dialami oleh setiap manusia, namun ianya mudah berkesan pada batin dibandingkan dengan penyembuhan badan itu sendiri. Melalui pengalaman, kita tahu bahawa bagaimana seseorang itu tetap lumpuh di dalam batinnya apabila dia hidup tanpa pengampunan. Kita sedar bahawa sikap kita yang tidak mahu mengampuni sesama itu akan tetap menghantui dan membelenggu kehidupan mereka. Yesus dengan tegas menolak perasaan tidak mahu mengampuni ini, sebab Allah sendiri mengasihi, maka kita harus mengasihi sesama kita, dengan mengamalkan nasihat Tuhan dalam petikan pertama minggu ini: “Janganlah ingat-ingat hal-hal yang dahulu, dan janganlah perhatikan hal-hal yang dari purbakala” (Yes 43:18). Dalam kata lain, kita perlu melupakan apa yang terjadi di antara kita sesama di masa yang lalu, “Let by gones, be by gones forever,” kata rangkai kata sebuah lagu lama yang saya sudah lupa siapa penyanyinya, yang maksudnya, yang lepas jangan dikenang, yang sudah itu, sudahlah.

“Maksudmu, saya perlu membiarkan suami saya yang begitu kejam, main kayu tiga, membuat hidup saya tidak tenang sejak kami kahwin dahulu?” Mungkin seorang ibu memberi reaksi terhadap renungan ini atau seorang anak yang sudah dewasa merungut “Aaah, mudah sekali engkau cakap, bagaimana dengan ayah saya, yang telah meninggalkan kami sejak kecil, lalu kahwin, cerai, kahwin, cerai sehingga banyak wanita dan anak-anaknya hidup dalam keadaan yang terseksa?”

Memang kita tidak dapat mempersoalkan kemurahan Tuhan dalam hal mengampuni. Persoalannya sekarang bukan sama ada Allah mahu mengampuni, tetapi apakah saya mahu mengampuni. St. Paulus pernah berpesan: “Jika seteru (= musuh) mu lapar, berilah dia makan, jika ia haus, berilah dia minum! Dengan berbuat demikian kamu memupukkan bara api di atas kepalanya. Janganlah kamu kalah terhadap kejahatan, tetapi kalahkan kejahatan dengan kebaikan” (Rom 13:20-12).

Keprihatinan Yesus adalah melibatkan kita semua untuk komited mengampuni sesama kita. Mudah-mudahan mulai hari ini, kita pun mengampuni sesama kita sebab: “Jika kamu tidak mengampuni orang” kata Yesus, “Bapamu juga tidak akan mengampuni kesalahanmu” (Mt 6:15) (JL)

 

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

1. Sikap mengampuni merupakan panggilan kita. Bahawa bukan Tuhan sahaja yang mengampuni tetapi kita pun diberi kuasa untuk mengampuni. Apa pendapat anda?

2. Di dalam doa Bapa Kami terdapat ungkapan, “…ampunilah kesalahan kami, seperti kami pun mengampuni orang yang bersalah kepada kami…” Apakah kesan kata-kata tersebut di dalam kehidupan anda seharian?

 

This entry was posted in Spiritual Food and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*


*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>