MEMASUKI PINTU YANG SEMPIT

Renungan Hari Minggu Biasa Ke 21 ( C )

Yes.66:18-21, Ibr.12:5-7,11-13, Luk.13:22-30

Semasa memimpin Misa Kudus untuk jabatan akhbar dan kakitangan radio Vatikan baru-baru ini, Paus Francis memberi peringatan kepada umat bahawa di dalam Gereja, terdapat orang suka mempromosikan diri sendiri, bukannya berusaha memuliakan Tuhan. “Mereka berpura-pura memasuki komuniti kita tetapi sebenarnya mereka adalah perampok,” kata Paus Francis, “Mereka adalah pencuri kemuliaan Yesus demi kemuliaan diri sendiri.”

Menurut Paus Francis, orang-orang seperti itu tidak masuk pintu gerbang yang sebenar. Orang-orang kristian yang sejati tahu yang mana satu pintu sebenar Yesus iaitu melalui nilai-nilai yang terdapat di dalam ucapan Bahagia (Lih. Luk.6:27-36). “Yesus menyatakan bahawa Dialah Pintu Sejati…Dialah Jalan Kebenaran” kata Bapa Suci, “Yesus adalah Pintu yang sangat indah itu, Ia sentiasa memberi tahu kebenaran dengan lemah lembut dan kasih.”

“Berjuanglah untuk masuk melalui pintu yang sesak itu,” kata Yesus di dalam Injil tadi. Apa sebenarnya yang dimaksudkan Yesus dengan kata-kata-Nya itu? Pasti pintu yang sesak itu adalah nilai-nilai kehidupan yang terdapat di dalam Ucapan Bahagia yang pernah diajarkan Yesus kepada para pengikut-Nya. Nilai-nilai kehidupan tersebut adalah perbuatan-perbuatan baik yang semuanya berpaksikan pada hukum cinta kasih yang diajarkan oleh Yesus Kristus sendiri.

Untuk melakukan perbuatan-perbuatan baik memang tidak mudah kalau kita mempunyai keinginan “Mencuri kemuliaan Yesus, untuk kemuliaan diri sendiri” kata Paus Francis. Untuk bersikap jujur, tidak bersikap pentingkan diri sendiri, tidak mengamalkan rasuah, tidak memanipulasi, selalu menegakkan keadilan dan sentiasa mengikuti suara hati memang tidak mudah.

Semasa Yesus menyampaikan pengajaran-Nya, ramai orang-orang Yahudi terkejut. Sebab, selama itu mereka berpendapat bahawa mereka adalah bangsa terpilih yang pasti masuk syurga. Namun Yesus mengingatkan mereka bahawa kelahiran sebagai bangsa terpilih itu tidak mempunyai erti apa-apa. Mereka harus menunjukkan diri sebagai orang-orang yang tidak putus-putus membagi kebaikan kepada sesamanya. Dalam kata lain, ianya bukan satu jaminan atau tiket untuk masuk ke syurga, maka untuk itu kita perlu, “Berusaha untuk masuk melalui pintu yang sesak itu” (ay. 24). Maksudnya, untuk masuk ke syurga, kita perlu berusaha mengamalkan ajaran cinta kasih Kristus. Syurga bukanlah tempat bagi orang-orang yang malas dan yang tidak bertanggung jawab semasa hayatnya di dunia ini.

Ajaran Yesus untuk orang-orang Yahudi pada zaman-Nya itu, tetap berlaku juga pada kita sekarang ini. Kita sudah menjadi ahli umat Allah bukan melalui keturunan Abraham secara fizikal, tetapi melalui pembaptisan. Ada orang yang merasa bahawa dia pasti masuk syurga kerana sudah mendapat permandian. Tetapi permandian sahaja belum cukup untuk memperoleh keselamatan. Nama kristian yang kita gunakan pada diri kita tidak akan bererti apa-apa jika perbuatan kita tidak menghasilkan buah cinta kasih Kristus secara berterusan dan komited.

Bayangkanlah jika ada seorang pemimpin rakyat yang rajin ke Gereja, malah suka memberi derma, tetapi semua orang tahu bahawa hidupnya ‘cakap tidak serupa bikin,’ suka berfoya-foya, boros dan menggunakan harta kerajaan sesuka hati. Atau seorang pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi, sangat aktif dalam badan-badan gereja dan di luar gereja, rajin ke gereja dan murah hati, tetapi banyak juga yang tahu bahawa orang ini selalu menerima rasuah daripada orang-orang yang berkepentingan. Bukankah orang-orang seperti inilah yang dimaksudkan oleh paus Francis, “Pencuri kemuliaan Yesus?”

Rajin ke gereja dan devosi peribadi terhadap kerahiman Ilahi dan Bonda Maria adalah sangat baik dan sangat digalakkan. Tetapi menjadi tidak baik jika sikap tersebut dicampuradukkan dengan perbuatan yang tidak bermoral. Orang-orang seperti ini seakan-akan berdiri di atas dua dunia yang berlawanan. Jika kita perhatikan di zaman Yesus, “Musuh-Nya” yang nombor satu adalah orang-orang Farisi. Orang-orang Farisi tersebut kelihatannya suci-suci belaka tetapi ramai yang suka menindas orang lain. Maka tidak hairanlah Yesus menyebut mereka orang yang hipokrit, pembohong dan berpura-pura.

Injil hari ini sungguh memberikan kita suatu amaran yang keras, bahawa kristian nama sahaja tidak mempunyai erti apa-apa. Memang tidak mudah masuk ke Kerajaan Allah. Hanya mereka yang mendengar dan bertindak sentiasa berwaspada dan mengamalkan hidup adil yang berpaksikan dengan ajaran cinta kasih Yesus yang dapat memasukinya.

Ternyata rumah Allah Bapa hanya untuk orang-orang yang terbaik. Tidak ada tempat bagi mereka yang suka mengada-ngada dan menepuk dada kerana bangga mempunyai nama kristian. Kita perlu sentiasa ingat kata-kata Yesus ini: “Orang yang terakhir yang akan menjadi yang terdahulu dan ada orang yang terdahulu yang akan menjadi orang yang terakhir” (ay.30). kita sebagai orang-orang yang sudah dibaptis boleh sahaja dipintas orang-orang lain yang melakukan perkara-perkara yang baik dan yang dengan tulus ikhlas mencari kebenaran serta mengamalkan keadilan.

Ingatlah, setiap kali kita melakukan perbuatan baik, kita sebenarnya telah mengumpulkan ‘wang’ membeli ‘tiket’ untuk masuk ke kehidupan kekal. Maka apabila tiba saatnya nanti, kita tidak akan menemukan lagi kesulitan walaupun kita memasuki pintu yang sempit. Maka marilah kita saling mendahului untuk berbuat baik tehadap sesama agar kelak tidak mendapat kesulitan memasuki pintu yang sesak itu sambil terus menghidupi pesan antarbacaan hari ini, sebagai misi kehidupan kita. “Pergilah ke seluruh dunia dan wartakanlah Injil.” (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1. Yesus pernah berkata, “Akulah jalan, kebenaran dan kehidupan. Hanya melalui Aku orang sampai kepada Bapa” (Yoh.14:6). Apa sebenarnya yang dimaksudkan Yesus melalui kata-kata-Nya itu sehubungan dengan persoalan masuk ke syurga?

2. Bagaimanakah cara anda agar dapat masuk ke syurga?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Yesus pernah berkata: “Bukan setiap orang yang berseru kepada-Ku: Tuhan Tuhan! akan masuk ke dalam kerajaan syurga, melainkan dia yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga” (Mt.7:21). Fikirkan, apakah selama ini anda cukup puas menjadi kristian nama sahaja? Jikaz tidak, maka mulai minggu ini buatlah sesuatu terhadap hidup kerohanian anda agar kelak tidak menemui kesulitan apabila memasuki “jalan yang sempit” itu.

 

This entry was posted in Spiritual Food and tagged , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*


*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>