Renungan Malam Paska (Merayakan Kebangkitan Tuhan)

MENGHAYATI KEBANGKITAN KRISTUS

Alat-alat media massa seperti kemera, video, radio, televisyen, internet, telepon bimbit dan macam-macam lagi seperti yang kita ada di zaman kita ini belum ada di zaman Yesus. Apa lagi siaran langsung melalui internet, radio, televisyen dan para wartawan professional langsung tidak pernah didengar oleh orang-orang waktu itu. Maka bagaimana kisah sebenar tentang kebangkitan Yesus tidak dijelaskan sejelas-jelasnya oleh para penginjil. Apa yang mereka laporkan hanyalah bersifat ramalan yang berbentuk gempa bumi dan kedatangan malaikat dengan aksinya yang sungguh mengagumkan itu.

Bayangkanlah sekiranya peristiwa kebangkitan Yesus itu terjadi di zaman kita, maka liputan terperinci dari segala sudut pasti kita perolehi lengkap dengan kajian sains yang canggih dan terkini.

Ironinya lagi, walaupun proses penyaliban Yesus itu disaksikan sendiri oleh para saksi mata serta orang-orang yang telah menjalankan hukuman salib tersebut, namun proses kebangkitan itu pula tetap dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Mengapa demikian? Bukankah seharusnya ia diwar-warkan ke seluruh pelusuk muka bumi pada waktu itu?

Ini semua adalah kehendak Tuhan. Kejadian yang sangat luar biasa itu di tempatkan di dalam konteks iman. Pewartaan para rasul Kristus yang sudah bangkit itu berasaskan kubur yang sudah kosong serta penampakan diri Kristus kepada mereka. Ini bererti bagi mereka yang tidak beriman, maka pewartaan ini tidak cukup kuat untuk meyakinkan mereka. Ini semua disebabkan kerana orang-orang yang tidak beriman tersebut mahu percaya hanya apabila mereka melihat bukti yang nyata. Tetapi kehendak Tuhan adalah pertemuan manusia dengan-Nya hanya terjadi melalui iman.

Tidak dinafikan bahawa segala sesuatu sudah dinyatakan melalui Yesus, iaitu melalui penjelmaan, karya, kata-kata kebijaksanaan, mukjizat, kesengsaraan dan kematian-Nya di kayu salib. Namun di dalam peristiwa kebangkitan ini, kita diharapkan agar berharap hanya pada Tuhan melalui iman kepercayaan yang adalah suatu anugerah Tuhan yang boleh membuka hati dan minda kita.

Orang-orang yang memusuhi Yesus, iaitu orang-orang Yahudi, penguasa Romawi, para askar dan orang-orang yang sekadar ikut-ikutan melihat peristiwa tersebut pasti tidak mengerti apa lagi percaya tetapi para murid Yesus yang setia itu tetap percaya walaupun tidak sepenuhnya memahami proses kebangkitan tersebut. Tetapi masa telah merubah mereka sehingga semakin lama, iman mereka terhadap Yesus Kristus semakin teguh dan dikuatkan.

Mereka semakin menyedari bahawa cinta kasih Allah dengan manusia itu rupanya tidak berakhir secara trajik hanya di kayu salib sahaja, melainkan Kristus telah mengalahkan dosa dan kematian apabila Dia bangkit dengan penuh kemuliaan dari kubur. Ini bererti cinta kasih Allah adalah untuk selama-lamanya.

Kebangkitan Kristus memberikan kita harapan untuk menghadapi kehidupan ini dengan penuh keyakinan walau apapun yang terjadi pada diri kita. Sebab kita tahu bahawa tidak ada satupun yang “…dapat memisahkan kita dari kasih Allah, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita” (Rm 8:39).

Di hari yang berbahagia ini, kita bersyukur kepada Allah Bapa kerana cinta kasih-Nya yang diberikan-Nya kepada kita secara percuma. Dan kita tahu bahawa kepercayaan kita kepada-Nya bukan hanya di dunia ini sahaja, tetapi juga dipanjangkan ke kehidupan kekal kita yang telah dipersiapkan oleh Yesus Kristus. Maka tidak ada lagi tempat untuk kita berputus asa dan merasa kosong sebab, “Kita bermegah dalam pengharapan akan menerima kemuliaan Allah. Malah bermegah juga dalam kesengsaraan kita, kerana kita tahu bahawa kesengsaraan itu menimbulkan ketekunan dan ketekunan menimbulkan tahan uji dan tahan uji menimbulkan pengharapan… yang tidak mengecewakan” (Rm 5:2-5).

Seperkara yang perlu kita renungkan ketika ini bahawa walaupun para murid Yesus, melihat dan mengalami sendiri peristiwa penyaliban dan kebangkitan Yesus, namun kedudukan mereka untuk bersaksi tidaklah lebih baik daripada kita ketika ini. Memang kita tidak pernah melihat kubur Yesus yang kosong itu, tetapi melalui gaya hidup kita seharian boleh menjadi suatu kesaksian yang hidup terhadap kebangkitan-Nya. Maka untuk itu, apapun juga kedudukan kita masing-masing, jadilah yang terbaik untuk Tuhan dan, “…berubahlah oleh pembaharuan budimu, sehingga kamu dapat membezakan manakah kehendak Allah: apa yang baik, yang berkenan kepada Allah dan yang sempurna” (Rm 12:2). (JL)

Cadangan soalan reflesi peribadi dan perkongsian KKD

1. Mulai malam Paska, kita rayakan inti iman kita, iaitu Yesus Kristus sudah bangkit. Persoalannya, apakah makna kebangkitan Yesus itu bagi anda secara peribadi?

2. Apakah perkara-perkara yang perlu anda ‘bangkitkan’ di dalam kehidupan harian anda?

This entry was posted in Spiritual Food. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*


*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>