Renungan Hari Minggu Paska Ke-5

KITA HARUS SALING MENGASIHI

Sastera Yahudi ada menceritakan tentang kisah seorang pembuat sabun dan seorang rabbi. Suatu hari pembuat sabun bertemu dengan rabbi itu dan berkata, “Saya sudah bosan dengan agama Yahudi: Dahulu kamu memberitahu saya bahawa tujuan agama adalah untuk membawa perdamaian, keadilan dan kebaikan hati ke dalam dunia. Tetapi agama justeru tidak membawa hal-hal tersebut.

Rabbi tersebut dengan tenang menanggapi dan menjemput pembuat sabun itu untuk berjalan-jalan bersamanya di taman. Mereka melewati sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain. “Mengamati anak-anak itu, kamu akan mengambil kesimpulan bahawa sabun tidak berguna bagi mereka,” komentar rabbi tersebut.

Pembuat sabun membantah, “Itu tidak betul, sabun tidak berguna jika ianya tidak digunakan.”

“Jika begitu, sama dengan agama,” kata rabbi tersebut. “Agama juga hanya berguna jika ajaran dan prinsip-prinsipnya diamalkan di dalam kehidupan harian kita.”

Melalui kisah yang menarik ini maka jelaslah di dalam konteks kita, agama bukanlah satu-satunya faktor yang terlibat di sini. Tetapi kekristianan yang sungguh dihidupi seharusnya membuat seseorang menjadi lebih mengasihi, lebih bermurah hati dan lebih memahami sesamanya apa adanya.

Mercu tanda yang seharusnya menjadi sifat utama bagi setiap umat katolik adalah cinta kasih. “Perintah baru Ku berikan kepadamu, iaitu supaya kamu saling mengasihi sama seperti Aku mengasihi kamu demikian pula kamu harus saling mengasihi. Dengan demikian semua orang akan tahu, bahawa kamu adalah murid-murid-Ku, jika kamu saling mengasihi” (Yoh 13:34).

Namun sayang sekali, ajaran Yesus ini tidak selalu dihayati dan dihidupi dalam hidup harian sebagaimana dapat kita saksikan sendiri di mana terjadi pelbagai konflik dan perpecahan di dalam dunia termasuk orang-orang kristian itu sendiri. Menurut kajian yang boleh dipercayai, terdapat lebih 22,000 denominasi agama, belum termasuk agama-agama yang lain dan hampir semua saling bermusuhan dan menganggap agama merekalah yang betul dan dirahmati Tuhan.

Sebenarnya “perintah baru” Kristus bukanlah sesuatu yang baru sebab agama-agama besar dunia seperti Buddha dan Hindu sudah mengajarkan tentang cinta kasih jauh sebelum Yesus dilahirkan. Namun apa yang luar biasa dan menarik tentang perintah baru Yesus ini adalah kata-kata-Nya: “Sama seperti Aku mengasihi kamu…” bererti mempunyai nada keberanian untuk berkorban tanpa had.

Semasa perayaan minggu suci yang baru lalu, kita mengetahui bagaimana Kristus telah menebus kita. Bahawa Dia mengalami sendiri penderitaan dan kesengsaraan kita sebab hanya dengan merasakannya sendiri serta mengalaminya sendiri maka barulah ianya boleh berubah menjadi alat penyelamatan kita yang penuh bermakna. Ini bererti bahawa Allah yang ada di dalam Yesus bukanlah lebih-lebih Allah yang maha berkuasa, tetapi Allah yang maha pengasih, maha penyayang.

Tidak dinafikan kita di Malaysia, terutama di negeri Sabah dan Sarawak, mempunyai budaya yang dapat menggambarkan cinta kasih Allah tersebut. Contohnya apabila ada sanak saudara kita jatuh sakit atau meninggal dunia, jiran-jiran jauh dan dekat berdatangan untuk turut berduka cita. Mereka datang bukan untuk mahu mengatakan apa-apa atau melakukan sesuatu, tetapi biasanya lebih banyak hadir secara senyap-senyap untuk menyatakan rasa simpati dan turut ‘menderita” bersama dengan keluarga yang mengalami kesedihan tersebut.

Budaya yang kita amalkan ini sedikit sebanyak membuatkan kita memahami Allah pengasihan yang kita kenali dalam Alkitab itu, sentiasa bersama kita baik dalam masa suka mahupun duka. Namun cinta kasih Kristus yang sungguh mendalam itu adalah melebihi daripada sekadar kehadiran-Nya di tengah-tengah kita. Sebab ianya juga bermaksud suatu kesanggupan untuk berkorban, iaitu menderita demi sesama-Nya.

“Berkorban” atau “menderita” bagi sesama di sini, bukan bermaksud hanya dengan kejadian-kejadian hebat yang kita lakukan. Kalau memang hebat, syukur pada Tuhan. Tetapi masa-masa yang hebat tidak selalu terjadi di dalam hidup kita. Sebab lebih banyak keperluan harian kita yang memerlukan cinta kasih dan kepedulianan kita kepada sesama kita yang memerlukan sewaktu kita asyik berpiknik, berpesta atau menonton tayangan yang kita sukai.

Nampaknya ukuran yang sesungguhnya tentang pertumbuhan kerohanian kita adalah berdasarkan ukuran tentang bagaimana kita melaksanakan perintah baru tersebut, iaitu, “Kamu harus saling mengasihi” (Yoh 13:34). (JL)

Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD.

1. Menurut anda bagaimanakah hukum cinta kasih duniawi yang biasa diwar-warkan itu dilaksanakan dalam kehidupan harian kita?

2. Apa yang harus anda lakukan apabila anda menyahut hukum cinta kasih yang ditawarkan oleh Yesus itu?

This entry was posted in Spiritual Food. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*


*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>