Renungan Hari Minggu Tubuh Dan Darah Kristus

MAKANAN UNTUK KEHIDUPAN KEKAL

Pada suatu hari ada seorang nenek yang merasa terlalu kesepian lalu pergi ke kedai penjual pelbagai binatang peliharaan. Setelah puas memilih, maka dia memutuskan untuk membeli seekor burung kakak tua yang pandai bercakap berharga RM1.000,00. “Burung ini pasti dapat menghibur hatiku” kata nenek tersebut.

Tetapi beberapa hari kemudian burung tersebut tidak dapat mengeluarkan apa-apa perkataan lalu nenak tersebut kembali ke kedai tersebut untuk membuat aduan. “Apa yang diperlukan burung tersebut adalah tangga untuk sangkarnya” kata pemilik kedai tersebut. “Apabila ia dapat turun dan menaiki tangga tersebut pasti ia akan berkata-kata lagi.” Tetapi burung tersebut tidak juga mahu bercakap, lalu nenek tersebut kembali lagi mengadu.

“Ah, apa yang diperlukan oleh burung tersebut adalah ayunan,” kata pemilik kedai tersebut. Tetapi sudah lebih seminggu burung tersebut masih tetap tidak mahu bercakap. Apabila nenek tersebut kembali lagi mengadu, pemilik kedai tersebut berkata burung tersebut memerlukan cermin di dalam sangkarnya.

Seminggu kemudian, nenek tersebut kembali ke kedai tersebut sambil menangis tersedu-sedu. Dia memberitahu bahawa burung yang mahal itu sudah mati. Pemilik kedai tersebut sungguh merasa terkilan dan malu lalu bertanya, “Apakah burung tersebut tidak berkata sepatah kata pun?” “Ada” jawab nenek tersebut. “Ketika burung itu hampir mati, dia berkata: “Apakah kedai itu tidak ada menjual makanan untuk saya?”

Pemilik kedai tersebut terlalu sibuk dengan pelbagai keperluan burung tersebut sehingga dia lupa keperluan asas, yang sangat penting iaitu makanan!

Kisah yang agak melucukan itu tadi jelas mahu mengatakan bahawa kita sungguh memerlukan makanan sebagai keperluan asas badan kita agar tetap hidup. Tetapi sebagai seorang kristian, kita tidak hanya memerlukan makanan untuk badan kita, tetapi juga makanan untuk jiwa kita. Makanan ini tidak lain tidak bukan adalah Tubuh Kristus yang dipersembahkan untuk kita sewaktu perayaan ekaristi: Lebih daripada itu Yesus sendiri telah berjanji untuk memberikan kita kehidupan kekal apabila kita mahu menyambut-Nya: “Barangsiapa makan daging-Ku dan minum darah-Ku, … ia akan hidup selama-lamanya” (Yoh 6:56,58).

Kita tidak boleh hidup tanpa makanan maka demikian juga kita tidak boleh menjangkau kehidupan yang sebenar tanpa Kristus. Bagi kita, kehidpan ini bukan sekadar jasmani. Kita semua mengalami bahawa kita hidup tapi tidak selalu gembira. Kita mempunyai pekerjaan yang baik dengan gaji yang lumayan, tetapi masih tetap tidak berpuas hati. Kita masih merindukan suatu kehidupan yang memuaskan namun tetap tidak tercapai. Hanya Kristus yang adalah Roti kehidupan itu boleh memuaskan kehidupan kita. Memang selain Kristus, mungkin masih ada kepuasan-kepuasan yang lain tetapi ianya palsu dan bersifat sementara belaka.

Lalu bagaimana caranya agar kita sentiasa ke arah hidup yang sempurna itu? Untuk menjadi sempurna, maka kita perlu hidup dalam Kristus. Untuk menjadi lebih baik, maka kita perlu memastikan keinginan-keinginan yang bersifat negetif dan menauladani gaya hidup Kristus yang sentiasa seimbang dengan diri sendiri, sesama, Tuhan dan alam semula jadi. Agar hidup ini lebih bermakna, maka terimalah Kristus sebagai Roti kehidupan kita. Dengan demikian, hidup kita akan berubah jika kita menjadi anak-anak Allah yang percaya, taat dan mengasihi Allah yang ada di tengah-tengah kita.

Kita sebenarnya terlepas kesempatan untuk menyedari kehadiran Kristus yang sebenar jika kita tidak mempedulikan kehadiran-Nya di dalam peribadi setiap orang yang kita hadapi sama ada yang kita suka atau sebaliknya. Melalui sesama kitalah sebenarnya kita dapat merenungi dan merasakan kehadiran-Nya di tengah-tengah kita. Dengan berbuat demikian maka pemakanan kita terhadap Ekaristi semakin diperkaya.

Sempena Minggu Tubuh dan Darah Kristus ini, perlulah kita merenungi tiga budaya berikut ini:

1. Budaya menyembah Tuhan. Melalui perayaan Ekaristi, kita diajak, diajar dan dilatih bagaimana penyembahan tersebut dilasanakan secara berterusan.

2. Budaya pembentukan iman. Melalui Ekaristi, kita secara berterusan dibentuk iman kita agar semakin dewasa dan mantap, dapat bertumbuh, berbuah dan bertahan.

3. Budaya bertanggungjawab sosial. Melalui Ekaristi, kita disedarkan bahawa wajah Yesus itu hadir di tengah-tengah sesama kita, dalam alam semula jadi, masyarakat dan negara kita. Maka kita disedarkan untuk menjadi garam dunia bagi sesiapa sahaja sesuai dengan bakat dan karunia yang Tuhan telah berikan kepada kita masing-masing.

Marilah kita berdoa agar sama seperti Paulus, kitapun sentiasa menyedari bahawa, “Aku hidup, tetapi bukan lagi aku sendiri yang hidup, melainkan Kristus yang hidup di dalam aku. Dan hidupku yang ku hidupi sekarang di dalam daging, adalah hidup oleh iman dalam Anak Allah yang telah mengasihi aku dan menyerahkan diri-Nya untuk aku” (Gal 2:20). (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1. Sedarkah anda siapakah anda sambut apabila menyambut Sakramen Mahakudus?

2. Sebagai seorang kristian selain makanan untuk kesihatan badan, kita perlukan makanan untuk rohani lkita. Apa yang harus kita lakukan supaya makanan untuk rohani kita itu sentiasa mencukupi? Beri contoh-contoh dan pengalaman-pengalaman anda yang nyata!

This entry was posted in Spiritual Food. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*


*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>