Renungan Malam Natal

TUHAN BESERTA KITA

Krismas menyatukan kita sebagai manusia yang sama-sama mengalami kegembiraan dan kesedihan, senyuman dan penderitaan. Krismas juga menimbulkan suasana nostalgia sehingga kadang-kadang membuatkan kita mengeluarkan air mata pula sebab teringat dengan kenangan Krismas di masa-masa yang lalu.

Hari ini kita merayakan hari Krismas. Ramai orang mempunyai gambaran yang tersendiri tentang Krismas lebih-lebih pada tahun ini. Ada orang mengatakan Krismas tahun ini suasananya kurang meriah. Sambutannya tidak seperti tahun-tahun yang lalu kerana suasana Krismas pada tahun ini tidak dirasakan. Mungkin ini semua disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang melanda negara dan dunia secara keseluruhan. Ada juga yang mengatakan Krismas tahun ini agak sukar untuk difahami memandangkan keadaan politik negara kita yang sedang dalam pergolakan ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu yang disertai dengan pelbagai bencana alam. Namun ada juga yang mengatakan bahawa penyebab utamanya adalah harga barang dan minyak melambung tinggi serta nilai mata wang kita semakin jatuh. Dan yang terakhir orang mulai takut makan makanan yang dikatakan dicemari dengan bahan-bahan yang memudaratkan kesihatan itu. Kalau begitulah jadinya, apakah masih ada makna untuk saling mengucapkan ‘Selamat Hari Krismas?’ Atau mansuhkan saja perayaan tersebut dan hilangkan cuti Krismas?

Walau apapun masalah yang kita hadapi setiap kali kita merayakan Krismas, berkat Tuhan dan semangat Krismas itu sendiri tidak akan pernah mengecewakan kita. Mengapa? Sebab hakikat kegembiraan kita terletak pada Kristus yang sudah datang ke dunia ini. Pendek kata, Kristus adalah asas dan sebab mengapa kita harus bergembira. Memang Krismas tahun ini mengecewakan seandainya asas yang penting itu kita lupakan sehingga membuat kita lupa akan tujuan yang sebenar mengapa kita rayakan Krismas tersebut.

Kesilapan kita yang terbesar adalah terletak pada pandangan keduniawian kita. Kita lupa bahawa Krismas adalah suatu pesta yang berteraskan pada kerohanian. Maka apabila Krismas kita rayakan dalam keadaan yang serba kekurangan, menurut ukuran duniawi, kita cenderung untuk menyalahkan keadaan negara dan dunia. Tetapi hendaknya kita tetap berfikiran optimis kerana Tuhan sudah datang ke dunia dan menjadi sama seperti kita dan Dia ada di antara kita untuk menyelamatkan kita serta mengubati segala kekecewaan kita.

Perayaan Krismas pada tahun ini hendaknya mengingatkan kita tentang kegembiraan yang sesungguhnya bukanlah terletak pada nilai-nilai kegembiraan duniawi tetapi lebih pada kerohanian. Memang segala pesta amalan pulang kampung, makan bersama dengan keluarga, saling bertukar-tukar hadiah dan sebagainya itu mempunyai nilai yang tersendiri, tetapi hendaknya itu semua tidak menutupi erti Krismas yang sebenarnya iaitu Kristus dilahirkan di dalam hati kita.

Setiap kali kita merayakan Krismas, hendaknya kita disedarkan akan kelahiran pengharapan di dalam dunia yang telah diliputi oleh pelbagai masalah sosial dan dosa. Ianya merupakan pengharapan yang menggembirakan yang memberikan kita semangat untuk tidak pernah tunduk pada keputusasaan.

Nabi Yesaya dalam petikan pertama tadi pernah bernubuat: “Bangsa yang berjalan dalam kegelapan telah melihat terang yang besar; mereka yang diam di dalam negeri kekelaman, atasnya terang telah bersinar. Engkau telah menimbulkan banyak sorak sorai, dan sukacita yang besar…sebab seorang anak telah lahir untuk kita …”

Perayaan Krismas merupakan penunaian terhadap nubuat tersebut. Dan inilah sebabnya walaupun suasana Krismas tersebut tidak begitu meriah kerana keadaan politik, ekonomi atau keluarga tidak dapat berkumpul seperti tahun-tahun yang lalu, namun Kristmas tahun ini dan tahun-tahun seterusnya, tetap menggembirakan. Kristus telah datang ke dunia: “Aku memberitakan kepadamu kesukaan besar untuk seluruh bangsa…. hari ini telah lahir bagimu Juruselamat, iaitu Kristus, Tuhan,” demikian kata Malaikat Tuhan yang menjadikan seluruh dunia berubah.

Maka hendaknya kita tidak kehilangan semangat Krismas, sebab melalui iman kita terhadap Juruselamat yang dilahirkan itu, membuat kita berani menghadapi segala kesulitan hidup. Memang Yesus mungkin tidak membebaskan kita daripada segala masalah misalnya membebaskan daripada kematian, membebaskan kita daripada hutang atau mengikat semula persahabatan atau perkahwinan kita yang terputus, tetapi Dia tetap memberikan kita semangat melalui iman kepercayaan kita untuk menempuhi hidup yang baru, menerokai kesempatan-kesempatan yang baru serta tidak terlalu terikat atau tertekan pada masalah-masalah yang sedang kita hadapi.

Kedamaian, kemurahan hati, saling memahami merupakan perkara-perkara yang tidak bersifat duniawi tetapi lebih kepada kerohanian yang menjadikan perayaan Krismas sungguh menggembirakan. Maka dengan saling mengungkapkan “Selamat Hari Krismas” di antara satu dengan yang lain, kita menyebarluaskan bukan hanya kegembiraan Krismas, tetapi juga memanjangkan harapan Kristus dan kepedulianan-Nya kepada semua orang. Selamat Hari Krismas! (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

1. Apakah cara yang terbaik bagi anda menyambut Krismas, hari kelahiran Yesus pada tahun ini?

2. Malaikat berkata, “Jangan takut!” Apa sebenarnya yang kita takuti setiap kali kita merayakan Krismas? Mengapa? Bagaimana mengatasinya?

This entry was posted in Spiritual Food. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*


*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>